Pertanyaan dan Tempahan

Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan bolehlah hubungi atau SMS ke talian berikut:

Marliza: 019 274 9369

Ali: 019 664 9369 atau 011 2134 7359

Atau

email ke:

marliza_05@yahoo.com

chefalimnoor@hotmail.com

Atau

layari:

https://www.facebook.com/thecheftable

Friday, February 25, 2011

DAGING DENDENG



Resepi daging dendeng ini diperolehi dari arwah sepupuku Kak Han. Kali pertama makan daging dendeng ini aku terus jatuh cinta dengan masakan ini. Sehingga hari ini resepi ini merupakan juadah wajib pada setiap aidil fitri untuk dimakan bersama-sama ketupat.

Pernah pada satu ketika semasa menyambut hari raya di rumah arwah mak itam sebelah suamiku, aku seperti biasa menyiapkan bahan-bahan untuk memasak daging dendeng. Arwah mak itam yang sememangnya amat terikat dengan resepi ibunda merasa agak pelik melihat aku menyediakan daging dendeng kerana pada dia hari raya juadah wajib adalah rendang dan kari ayam. Kebetulan ketika itu aku sedang sarat dan menunggu hari untuk melahirkan anakku yang ketiga. Alasan itu aku gunakan konon aku teringin nak makan daging dendeng. " Entahlah aku tak paham masakan budak-budak zaman sekarang. Aku tahu raya mesti ada ada rendang mesti ada kari ayam. Dah kau teringin kau buatlah zah". Aku diam malas betingkah dengan orang tua..apapun orang tua mesti dihormati.

Pada hari raya, daging dendengku menjadi salah satu juadah tempelan kepada juadah arwah mak itam. Dan amat memeranjatkan daging dendengku berjaya menarik perhatian tetamu berbanding lauk-pauk yang disediakan oleh arwah mak itam. Kemudiannya apabila menerima kunjungan tetamu yang terdiri dari sepupu2 suamiku beserta keluarga lebih kurang dlm 3 buah kereta, sekali lagi daging ini menarik perhatian tetamu. Ketika aku ke dapur untuk menambah daging dendeng dalam pinggan hidangan, tiba2 arwah mak itam dah berdiri di sebelah ku. " Zah dah lah tak yah bawak keluar lagi daging tu, mak , abah ngan abang kau belum makan lagi daging ni". Bila arwah mak itam beredar...aku tersenyum sendiri.

Apa pun aku tetap merindui masakan arwah seperti kuah ladah, kari ayam kampung dll..sememangnya air tangan mak memang best.

DAGING DENDENG

Bahan :

1 kg daging lembu
2 caw cili mesin
1 caw kicap lemak manis kipas udang
8 ulas bawang merah ]
3 ulas bawang putih ] ditumbuk
1 inci halia ]
2 camt pes asam jawa
4 bj buah pelaga
3 bj bunga lawang


Cara :

1.Hiris daging sederhana tebal.
2. Rebus daging dengan sedikit air hingga warna darah hilang.
3. Tos daging dan tumbuk hingga nipis dan tekstur halus.
4. Gaul daging dengan 1/2 cawan kicap lemak manis. Rehatkan sebentar.
5. Goreng daging sehingga garing.
6. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan yang ditumbuk, buah pelaga dan bunga lawang hingga garing..
7. Masukkan cili mesin dan tumis hingga garing.
8. Masukkan 1/2 cawan kicap lemak manis dan pes asam jawa ke dalam cili dan masak hingga pecah minyak.
9. Masuk daging goreng ke dalam cili dan gaul rata. Masak sehingga kuah cili agak kering.
10. Hidangkan.

Selamat mencuba.....

Tips

- Adalah disyorkan menggunakan cili kering berbanding cili boh kerana cili boh mengandungi bahan awet yang tinggi
- Ketika mesin cili kering gunakan air rebusan daging.



No comments: